Saturday, November 9, 2013

STATUS SEBENAR RIWAYAT AL SAMARI YANG MENJADI HUJAH PENENTANG AL YAMANI DARI KALANGAN SYIAH 

Jawapan Al Yamani (a.s) tehadap riwayat Al Samari yang menjadi hujah utama penolakan umat Syiah Imamiyyah untuk menerima wasiy dan utusan Imam Muhammad Al Mahdi (a.s) sebelum kemunculannya.
Syeikh Saduq (r.a) meriwayatkan daripada Ali bin Muhammad Al Samari dengan sanad yang sahih, dia telah berkata: “Telah diceritakan kepada kami oleh Abu Muhammad Al Hassan bin Ahmad Al Maktab, dia telah berkata: Aku telah berada di Bandar Al Salam di tahun berlakunya kematian Syeikh Ali bin Muhammad Al Samari (semoga Allah mensucikan ruhnya), aku telah melawatnya beberapa hari sebelum kematiannya, dan dia telah mengeluarkan kepada khalayak ramai Tawqi’ (surat bercop mohor Imam Al Mahdi a.s) yang dicatatnya: “Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, wahai Ali bin Muhammad Al Samari (semoga Allah membesarkan pahala saudara-saudara kamu pada kamu), sesungguhnya kamu akan mati dalam tempoh masa enam hari! Oleh itu, selesaikanlah segala urusanmu dan jangan kamu mewasiatkan kepada sesiapapun untuk menggantikan tempat kamu. Aku telah diarahkan untuk Ghaibah Penuh dan tidak ada kemunculan melainkan setelah diizinkan Allah Azza wa Jalla, iaitu untuk satu tempoh waktu yang lama, hati-hati manusia menjadi keras, dan kekejaman berleluasa. Maka akan ada di kalangan syiahku yang mendakwa telah melihatku, maka sesiapa yang mendakwa telah melihatku sebelum keluarnya Sufyani dan Saihat (pekikan dari langit), maka dia adalah pembohong besar. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.” Dia berkata lagi: Maka kami telah mencatatkannya dan kami meninggalkannya selepas itu. Kami kembali kepadanya pada hari keenam dan dia mengelokkan dirinya, seraya ditanyakan kepadanya: “Siapakah wasiy (pemegang wasiat) kamu setelah kamu?” Lalu dia berkata: “Bagi Allah urusan itu dan Dia lah yang menyampaikannya.” Dia (r.a) meninggal dunia selepas itu, dan itu adalah perkataan terakhir yang kami telah dengar darinya. [i]

Dia lah yang menurunkan Al Kitab [Al Qur’an] kepada kamu. Di antara [isi]nya ada ayat-ayat yang muhkamaat itulah pokok-pokok isi Al Qur’an dan yang lain mutasyabihat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebahagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari ta’wilnya, padahal tidak ada yang mengetahui ta’wilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: "Kami beriman kepada ayat-ayat yang mutasyabihat, semuanya itu dari sisi Tuhan kami." Dan tidak dapat mengambil pelajaran [daripadanya] melainkan orang-orang yang berakal.”[ii]

Kata-kata mereka (Imam-imam Ahlulbayt a.s) mempunyai Mutasyabih (kesamaran), sepertimana Kalam Allah SWT (Al Quran) yang Mutasyabih.Beginilah yang telah diriwayat daripada mereka, dan apakah hujah mereka tentang riwayat-riwayat Mutasyabih yang bersangkutan dengan Empunya Urusan (Sohibul Amr) ini? Imam Ali Al Ridha (a.s) telah berkata: “...sesunguhnya, jika kami memberikan kamu apa yang kamu minta, ianya akan menjadi keburukan buat kamu dan sudah tentu kamu akan memenggal leher Empunya Urusan (Sohibul Amr) ini.”[iii]

Daripada Al Ridha (a.s):”Barangsiapa yang merujuk Mutasyabih (kesamaran) Quran kepada Muhkamnya, maka dia telah mendapat petunjuk ke jalan yang lurus,” kemudian dia (a.s) berkata lagi: “Sesungguhnya hadis-hadis kami adalah muhkam seperti muhkamnya Quran dan mutasyabihnya seperti mutasyabih Quran, maka merujuklah mutasyabihnya kepada muhkamnya, dan janganlah kamu mengikuti mutasyabihnya tanpa muhkamnya, pasti kamu akan tersesat.”[iv]

Manusia itu tidak maksum, walaupun sekiranya dia mengikhlaskan niatnya kepada Allah SWT dan melakukan kajian yang mendalam dalam memahami kata-kata mereka (a.s), khususnya riwayat-riwayat mereka (a.s) bersangkutan dengan Empunya Urusan (Sohibul Amr a.s). Dia berkemungkinan akan tersalah faham samada secara keseluruhan atau satu persatu, sekiranya dia betul dalam memahami satu perkara, maka pasti dia akan tersilap dalam memahami perkara lain, kerana kebathilan akalnya yang tidak bersifat maksum. Ingatlah! pada sesiapa jua yang terlalu fanatik dan memberati satu-satu perkara, sedangkan dia jahil tentang kedua-duanya (muhkam dan mutasyabih). Moga-moga mereka yang menyelidiki secara mendalam akan riwayat-riwayat mereka (a.s) mengetahui, bahawa pernah berlaku pada suatu hari, seorang yang telah menzalimi dirinya telah mengarang sebuah kitab berkenaan pendustaan terhadap Quran yang mulia dan menyerahkannya kepada Imam (a.s), lantas Imam (a.s) berkata: “Barangkali orang yang berkata menginginkan suatu perkara yang kamu tidak fahami dari kata-katanya.” Individu tersebut terus berhenti daripada mengarang, lantas mengoyak-ngoyakkan kitabnya.

Justeru aku bertanya soalan yang sama kepada mereka yang menulis tentang isu Imam Al Mahdi (a.s): Barangkali orang yang berkata (Rasulullah dan para Imam a.s) menginginkan sesuatu yang kamu tidak fahami dari kata-katanya?!!!

Wahai mereka yang menulis tentang isu Imam Al Mahdi (a.s), adakah kamu telah merujuk kata-kata mereka (a.s) yang mutasyabih kepada kata-kata mereka yang muhkam?

Sekarang aku ingin bertanya, adakah riwayat daripada Ali bin Muhammad Al Samari ini, mutasyabih (kesamaran) atau muhkam (ketetapan)? Jika kamu mengatakan ianya muhkam, maka aku katakan: Bahawa banyak kumpulan ulamak yang mengklasifikasikan berbagai-bagai makna tentang pemahaman riwayat ini, di antara mereka adalah Al Sayeed Mustafa (semoga Allah merahmatinya), dan Al Sayeed Al Sadr (semoga Allah merahmatinya) dan lain-lain lagi.

Ini menunjukkan bahawa ada sesuatu yang kurang jelas dalam pemahaman mereka, yang jelas menunjukkan ada kesamaran pada riwayat tersebut. Tidak ada kejelasan pada maknanya, malahan, ianya mutasyabih. Justeru itu, apakah mustahil kamu terjebak dalam kefahaman yang salah terhadap riwayat ini?Dalam masa yang sama, apakah kamu tidak mengetahui bahawa terdapat riwayat yang lebih jelas menunjukkan kewujudan utusan sebelum kemunculan Qo’im (a.s)? Dan jumlah riwayat tersebut adalah tersangat banyak.

Ini adalah sebahagian contoh untuk diingati, daripada Al Baqir (a.s):”Imam Qo’im (a.s) akan Ghaib selama beberapa tempoh berlalu,” seraya menunjukkan tangannya kearah “Zee tuwa”. Kemudian Imam (a.s) berkata: “Sebelum dia (a.s) bangkit , salah seorang pembantunya akan mendatangi salah seorang sahabatnya dan bertanya: ‘Berapa ramai bilangan kamu di sana?’ Akan dijawabnya: ‘Kami seramai empat puluh orang’. Kemudian dia akan bertanya: ‘Bagaimana tindakan kamu sekiranya kamu melihat Tuan kamu (Shohibul Asr a.s)’. Balas mereka: ‘Demi Allah, sekiranya dia menentang gunung sekalipun, kami akan bersama-sama dengannya’. Setelah itu, dia akan pergi kepada mereka dan berkata: ‘Tunjukkan ketua atau sepuluh orang yang terbaik di kalangan kamu, lalu ditunjukkan mereka kepadanya.’ Kemudian mereka berpergian bersama sehingga berjumpa dengan Tuan mereka, dan meninggalkan mereka pada malam berikutnya.”[v]

Di dalam kisah Pulau Hijau (Jazirah Al Hadra’) yang disampaikan oleh sebilangan ulama Syiah yang Thiqah, dan kisah ini diriwayatkan oleh tokoh-tokoh besar Syiah di dalam kitab mereka, antara mereka adalah:
  • Al Mirza Al Noori dalam kitab ‘Al Najmu Al Thaqib, jilid 2, ms 172
  • Al Sayeed Nurullah Al Tasytari di dalam kitab ‘Majalis Al Mu’mineen’, jilid 1, ms 78
  • Al Syeikh Ali Al Ha’iri di dalam kitab ‘Ilzam Al Nasib’, jilid 2, ms 85
  • Al Muqaddis Al Ardabili di dalam kitab ‘Hadiqah Al Syiah’, ms728
  • Al Faydh Al Kashani di dalam kitabnya ‘Nawadir Al Akhbar’, 300
  • Al Syahid Al Awwal Muhammd bin Makki
  • Al Sayeed Hashem Al Bahrani di dalam kitab ‘Tabsirah Al Wali fi man ra’a Al Qo’im Al Mahdi a.s
  • Al Allamah Al Mirza Al Ridha Al Isfahani di dalam ‘Tafsir Al A’imma li hidayat Al ‘Ammah’.
  • Al Hurr Al ‘Amili di dalam kitab ‘Asbat Al Huda’, jilid 7, ms 371
  • Al Muhaqqiq Al Karkiy
  • Pengasas aliran Usuli yang pertama Al Bahbahani di dalam kitab “Bahsu fi solat Al Jum’ah”
  • Al Sayeed Abdullah Shubr di dalam kitab “Jala’ Al ‘Uyun”
  • Al Sayeed Mahdi Bahr Al Ulum di dalam kitab ‘Fawa’id Rijaliyah’, jilid 3, ms 136.
Terdapat kenyataan yang disampaikan buat menjelaskan riwayat Ali bin Muhammad Al Samiri daripada Imam Mahdi (a.s), dan ini adalah teksnya:

“Maka aku bertanya, ‘duhai tuan ku, telah diriwayatkan kepada kami oleh syeikh-syeikh kami berkaitan Empunya Urusan (Shohibul Amr a.s), yang berkata ketikamana dia diarahkan untuk keghaiban utama (Ghaib Kubro), ‘sesiapa mendakwa telah melihatku semasa keghaiban utamaku adalah pendusta’.Tetapi, bagaimana ramai yang telah melihatnya dikalangan kamu? Seraya dia berkata: ‘kamu telah berkata benar, sesungguhnya dia (a.s) berkata demikian kerana terlalu ramai musuh-musuhnya, yang terdiri dari kalangan ahli keluarganya dan juga firaun-firaun (penindas/ penzalim) Bani Abbas selain mereka, sehinggakan dari kalangan syiah sendiri menghalang satu sama lain daripada berbicara tentangnya. Walhal buat zaman ini, telah berlalu masa yang lama dan musuh-musuhnya juga telah berputus harap; negeri kita juga jauh dari kekuasaan, penindasan dan kekejaman mereka, dengan berkat Imam (a.s) tiada musuh yang berupaya sampai kepada kita.”[vi]
Sekiranya bukti ini tidak mencukupi buat kamu, aku kemukakan pula dari pintu ilmu yang mereka sendiri beriltizam dengannya: iaitu kaedah rasional yang diakui oleh kaum Syiah di dalam ilmu mantiq dan Usul: Ia adalah prinsip muhmalah (keterabaian) yang bersandarkan sifat juz’iyyat (sebahagian). Isu yang wujud dalam riwayat Al Samari adalah; “sesiapa yang mendakwa telah melihat aku sebelum keluarnya Sufyani dan pekikan dari langit (saihat) adalah pembohong besar,” ia termasuk dalam prinsip muhmalah (keterabaian) yang bersifat juz’iyyat (sebahagian), iaitu ayat tersebut boleh menjadi sebegini, “Sebahagian yang mendakwa telah melihat aku sebelum keluarnya Sufyani dan pekikan dari langit (saihat) adalah pembohong besar.” Disebabkan tidak terdapat petunjuk luaran yang boleh menunjukkan maksudnya bersifat kulliyyat (keseluruhan). Tetapi terdapat petunjuk luaran yang lebih bersesuaian dengan maksud yang bersifat sebahagian. Iaitu riwayat yang menunjukkan bahawa Imam Al Mahdi (a.s) akan mengutuskan seseorang yang akan mewakili dirinya, tidak lama sebelum kebangkitannya; antaranya adalah riwayat yang telah kita bicarakan sebelum ini,[vii] dan juga riwayat Al Yamani serta banyak lagi.[viii]

Bagi menjelaskan lagi perkara ini, khusus buat mereka yang tidak biasa dengan dengan kaedah Mantiq, aku nyatakan kepada mereka: Kes ini samada ianya tertutup atau terbiar. Tertutup samada ianya bersifat keseluruhan atau sebahagian, iaitu apabila kamu berkata; “kesemua yang mendakwa telah melihat...maka dia adalah pembohong besar.” Justeru, ia menjadi kes yang bersifat keseluruhan, kerana kamu telah memulakannya dengan perkataan “kesemua”. Sekiranya kamu berkata; “Sebahagian yang mendakwa telah melihat...maka dia adalah pembohong besar.” Maka kes ini adalah bersifat sebahagian, kerana kamu telah memulakan dengan perkataan “sebahagian”.Adapun, apabila kamu biarkan kes ini dan buangkan sifat keseluruhan atau sebahagian yang menjadi benteng yang memagarinya, sekaligus menjadikannya bersifat sebahagian, yang langsung tidak dapat disesuaikan dengan sifat keseluruhan. Melainkan wujud petunjuk luar yang dapat menunjukkannya sebagai bersifat keseluruhan. Sekiranya petunjuk luar ini tidak wujud, dan hanya terdapat petunjuk yang bersifat sebahagian, maka kes ini bersifat sebahagian.

Dalam kes ini,[ix] ianya adalah muhmalah (keterabaian), kerana tidak wujud sebarang petunjuk yang menunjukkan ia bersifat keseluruhan, tetapi terdapat petunjuk yang menunjukkan ia bersifat sebahagian (iaitu riwayat para Imam a.s).[x] Kesimpulannya kes ini bersifat sebahagian, yang sekaligus membuktikan bahawa riwayat Al Samari tidak sama sekali menghentikan utusan (Safarah) dengan apa cara sekalipun. Segala puji hanya bagi Allah, satu-satunya.

Jadi, Apakah mungkin merujuk perkara ketetapan (Muhkam) kepada perkara kesamaran (mutasyabih)?!!! Dan Lihat pula, bagaimana mereka melemparkan perkara ketetapan (Muhkam) ke dinding?!!!
Firman Allah SWT:

”Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, maka mereka mengikuti sebagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari ta’wilnya”[xi]
Setelah itu, aku ingin bertanya: adakah Al Yamani bangkit selepas pekikan dari langit (saihat) sebagaimana yang dilontarkan oleh mereka yang menulis tentang isu Imam Mahdi (a.s)? Kalau begitu, lihat: adapun pekikan dari langit (saihat) itu berlaku di bulan Ramadhan – keluar atau bangkitnya Al Yamani pula pada bulan Rajab. Sekiranya kebangkitan Al Yamani berlaku selepas pekikan dari langit (saihat), iaitu pada Rajab selepas Ramadhan. Ini bermakna Al Yamani akan keluar selepas kebangkitan Imam Al Mahdi (a.s). Nyata sekali, kefahaman ini adalah salah kerana kebangkitan Imam Al Mahdi (a.s) adalah di bulan Muharram, manakala Rajab muncul selepas Muharram. Perkara ini amat jelas dan tiada dolak dalik lagi padanya.

Maha Suci Allah, sebahagian mereka berkata: Seseungguhnya kami diarahkan untuk mendustakan utusan Imam Al Mahdi (a.s) berdasarkan riwayat Al Samari, walaupun didatangkan dengan ilmu. Mereka lupa bahawa para Imam (a.s) menjelaskan bahawa utusan yang bakal datang, dikenali dengan ilmu. Daripada Mufadhal bin Umar telah berkata:”Aku telah mendengar Abi Abdillah (a.s) berkata: Sesungguhnya Empunya Urusan (Sohibul Amr a.s) akan mempunyai dua keghaiban, salah satu darinya dia akan pulang kepada keluarganya dan yang satu lagi dia dikatakan telah lenyap, tidak diketahui ke lembah mana dia telah pergi. Maka aku bertanya: “Bagaimana harus kami buat apabila ianya berlaku?Dia (a.s) berkata: Sekiranya seseorang mendakwa sedemikian, maka tanyakan kepadanya tentang Adha’im (Quran dan Ahlulbayt a.s), nescaya akan dijawab seumpamanya.”[xii]
___________________________________________
[i] Syeikh Saduq, Kamal Al Din, ms 516
[ii] Ali Imran: 7
[iii] Qurb Al Isnad, ms 380
[iv] Wasail Al Syiah, jilid 18, ms 82
[v] Ghaibah Al-Namani, P. 187, Tafsir Al-Ayashy, V. 2, P. 56, Bihar Al-Anwar, V. 52, P. 341, Muajim Ahadith Al-Imam Al-Mahdi, V. 5, P. 2.
[vi] Bihar Al Anwar, jilid 52, ms 171. Ilzam Al Nasib, jilid 2, ms 82.
[vii] Iaitu riwayat terdahulu yang diriwayatkan daripada Imam Al Baqir (a.s)
[viii] Rujuk semula kitab yang dihasilkan oleh Ansar Imam Al Mahdi (a.s), seperti kitab Al Yamani Hujjatullah, Al Wasiyyah wa Al Wasiy Ahmad Al Hassan, kompilasi bukti-bukti dan berbagai buku-buku lagi buat pengkaji yang boleh didapati di dalam laman sesawang Ansar Imam Al Mahdi (a.s)
[ix] Iaitu kata Imam Al Mahdi (a.s): “Barangsiapa yang mendakwa telah melihat aku sebelum keluarnya Sufyani dan jeritan dari langit (saihat) adalah pembohong besar,”
[x] Rujuk kitab “Al Radd Al Qasim ‘ala Munkiri Ru’yatu Al Qo’im”, kitab “Qira’ah Jadidah fi Riwayah Al Samari” dan lain-lain lagi dari kitab karangan Ansar Imam Al Mahdi (a.s)
[xi] Ali Imran: 7
[xii] Ghaibah Al Nu’mani, ms. 173

No comments:

Post a Comment