Saturday, November 9, 2013

PENOLAKAN TERHADAP HADIS WASIAT RASULULLAH ADALAH TERKELUAR DARIPADA WILAYAH AHLULBAYT (A.S)

Peringatan Buat Mereka Yang Cenderung Meragui Hadis2 Ahlulbayt (a.s)!
Telah diriwayatkan banyak hadis shahih yang mengingatkan kita agar tidak menolak riwayat-riwayat Ahlulbayt (a.s) dengan apa jua sebab, hatta yang bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah yang shahih lagi thabit. Sebahagian hadis menegaskan bahawa menolak kata-kata para Aimmah dianggap sebagai terkeluar daripada Wilayah, dan setengahnya pula menegaskan penolakan terhadap mereka bermakna penolakan terhadap Allah swt.

Kebanyakan ulamak dan mereka yang mendakwa berilmu serta beragama yang kita lihat pada hari ini membebaskan diri mereka daripada mendengar riwayat-riwayat yang tidak bersesuaian dengan akal fikiran mereka yang terbatas atau bertentangan dengan hawa nafsu mereka, seterusnya bertindak terburu-buru dalam menolak hadis-hadis dan menyifatkannya sebagai Israiliyyat atau palsu!!! Ini adalah bukti kejahilan mereka dalam memahami kata-kata Aimmah (a.s), dan sesungguhnya agama Allah ini tidak bertepatan dengan akal fikiran manusia, dan hadis mereka adalah sangat sukar lagi menyukarkan yang tidak tertanggung olehnya melainkan Nabi yang diutuskan, Malaikat yang terdekat, atau hamba yang telah teruji oleh Allah akan keimanannya.

Daripada Abi Jaafar (a.s) berkata: [Telah bersabda Rasulullah (sawas): “Sesungguhnya hadis keluarga Muhammad itu sukar lagi menyukarkan (untuk difahami). Tidak beriman dengannya, melainkan Malaikat yang terdekat, atau nabi yang diutuskan, atau hamba yang telah diuji oleh Allah akan keimanannya. Oleh itu, setiap apa yang diriwayatkan ke atas kamu daripada hadis-hadis keluarga Muhammad (a.s), maka hendaklah kamu lembutkan hati-hati kamu, ketahuinya dan terimanya. Barangsiapa yang merasa benci di dalam hati-hati mereka akan hadis-hadis itu dan mengingkarinya, maka hendaklah kamu kembalikan hadis-hadis tersebut kepada Allah dan Rasul, dan juga kepada Alim di kalangan keluarga Muhammad (a.s). Sesungguhnya orang yang binasa adalah seseorang yang berbicara dengan sesuatu daripada hadis yang tidak dapat ditanggungnya,” seterusnya berkata: “Demi Allah ianya bukan begini, demi Allah ianya bukan begini”, ingkar itu adalah kafir.”[Al Kafi, jilid 1, ms 401]

Di dalam hadis ini Rasulullah (sawas) menghukumkan orang yang mengingkari satu hadis dari hadis-hadis keluarga Muhammad (a.s) walaupun ianya bertentangan dengan akal fikirannya sebagai kafir. Adakah ini tidak dianggap sebagai celaan kepada mereka yang mengingkari wasiat Rasulullah (sawas) tanpa sebarang hujah. Wasiat ini langsung tidak bertentangan dengan Al Quran, bahkan bertepatan dengan Al Quran, tidak bertentangan dengan Sunnah bahkan ianya adalah Sunnah, tidak juga bertentangan dengan akal. Benar, ianya bertentangan dengan hawa nafsu kesyaitanan dan penyakit-penyakit hati yang cenderung untuk menentang Ahlulbayt (a.s), walaupun pada zahirnya menunjukkan kasih sayang mereka.

Daripada Imam Al Baqir (a.s): “Demi Allah, sesungguhnya sahabat-sahabat yang paling dikasihi di sisiku adalah mereka yang paling wara’, yang paling fakeh, dan paling berahsia tentang hadis kami. Dan mereka yang paling buruk perlakuannya di sisiku dan paling dibenci adalah mereka yang apabila mendengar sesuatu hadis yang dinisbahkan kepada kami dan diriwayatkan daripada kami yang tidak bersesuaian dengan akalnya, maka dibencinya, ditentangnya dan mengkafirkan mereka yang berpegang dengannya. Sedangkan dia tidak mengetahui bahawa hadis itu memang dikeluarkan dari sisi kami dan disandarkan kepada kami, maka dengan demikian dia telah terkeluar dari wilayah kami.”[Al Kafi, jilid 1, ms 223]

Subhanallah, di sini adalah kata-kata berkenaan hadis yang tidak dapat diterima oleh akal dan dibenci oleh nafsu, dan atas dasar itu Imam menyifatkan penolakan terhadap hadis sebegini menyebabkan seseorang terkeluar dari wilayah Ahlulbayt (a.s). Pada asasnya keluar daripada wilayah Ahlulbayt (a.s) bermakna masuk ke dalam wilayah Syaitan secara pasti, moga dijauhkan Allah swt dari hal sedemikian. Apa lagi alasan mereka yang menolak wasiat Rasulullah (sawas), walaupun ianya telah disebutkan di dalam kitab-kitab Syiah yang muktabar dan disokong dengan sebilangan riwayat yang membantu isi kandungannya, dan juga sanadnya yang muktabar yang akan dibincang secara terperinci nanti, dengan izin Allah.

Daripada Imam Al Ridha (a.s) telah berkata: ”...jangan kamu katakan apa yang disampaikan kepada kamu daripada kami atau sesuatu yang dinisbahkan kepada kami sebagai batil, walaupun kamu mengetahui sebaliknya. Sesungguhnya kamu tidak mengetahui mengapa, bagaimana keadaan dan sifat ia dikatakan.”
[Al Kafi, jilid 8, ms 125][Bashair Darajat, ms 558]

Bahkan disebutkan riwayat yang mengingatkan agar tidak mendustakan satu-satu riwayat, walaupun pendusta dan diketahui bertentangan dengan apa yang diriwayatkannya, kerana berkemungkinan para Imam (a.s) memaksudkan perkara lain yang tidak difahami oleh pendengar, dengan kata-kata mereka (a.s).

Di dalam satu riwayat hadis yang shahih: “Jangan kamu mendustakan hadis yang didatangkannya oleh seorang Murji’ah, qadari, dan khariji yang dinisbahkan kepada kami, kerana sesungguhnya kamu tidak mengetahui ianya berkemungkinan sesuatu dari kebenaran dan seterusnya kamu mendustakan Allah.” [Bihar Al Anwar, jilid 2, ms 187]

Malahan lebih daripada itu, bila disebutkan riwayat yang menegah daripada mendustakan hadis, walaupun pembawanya adalah seorang yang rosak akidah dan mazhabnya seperti golongan khawarij, Murji’ah dan Qadariyyah.

Apa lagi alasan kalian, sekiranya hadis yang disifatkan dengan kesemua sifat yang tertolak di sisi manusia ini, masih ditegah oleh Aimmah (a.s) daripada mendustakannya. Bahkan menganggapnya sedemikian adalah terkeluar daripada wilayah Ahlulbayt (a.s) dan mendustakan Allah swt, dan mereka mengarahkan supaya semampu mungkin bertawaquf tanpa menolak atau mendustakannya. Maka bagaimana mungkin kita menolak hadis wasiat yang tidak pernah diriwayatkan oleh seorang khawarij, murjiah atau qadariyyah, atau pun seorang pendusta. Tidak pula ia bertentangan Al Quran, Sunnah dan juga akal, bahkan bersesuaian dengan Al Quran, Sunnah dan juga akal. Ia juga disokong oleh banyak pendamping-pendamping (Qorinah) dalaman dan luaran, dan kebanyakan ulamak terkemuka dan para ahli hadis berpegang kepadanya. Maka dengan itu, hadis wasiat ini adalah pasti (qathie) terbit daripada Rasulullah (sawas) dan ianya diakui oleh pakar ilmu hadis di dalam kitab-kitab mereka. Tidak mungkin ada keraguan padanya melainkan pada mereka yang munafik lagi ragu-ragu, dan penolakan terhadapnya dianggap sebagai kufur dan terkeluar dari wilayah sebagaimana yang disebutkan di dalam riwayat-riwayat terdahulu. Cukuplah yang demikian itu sebagai sesuatu yang memalukan bagi mereka yang mendustakan wasiat Rasulullah (sawas) atau cuba untuk meraguinya beserta dengan kesemua dalil-dalil yang menyokongnya.

Kalian tidak seharusnya terlalu ekstrim di dalam meragui riwayat-riwayat Ahlulbayt (a.s) dengan berhujah bahawa ianya bohong atau seumpamanya. Sedangkan sehingga kini kita tidak pernah melihat wujudnya hadis-hadis bohong yang telah dikenalpasti dan umat Syiah berpegang dengannya, atau dinukilkannya oleh ulamak-ulamak di dalam kitab-kitab mereka yang dipercayai dan dijadikan dalil mereka. Tambahan lagi pemimpin kelompok dan ketuanya Syeikh Al Toosi yang meriwayatkan wasiat Rasulullah (sawas) dan menjadikannya dalil di dalam kitabnya Al Ghaybah, dan dia adalah pemilik dua kitab daripada kitab yang empat iaitu kitab Al Tahzib dan Al Istibshar. Dua kitab lainnya adalah Al Kafi oleh Syeikh Al Kulayni dan Man La Yahdhuruhu Al Faqih oleh Syekh Al Saduq. Ini adalah merupakan kitab-kitab yang paling dipercayai di kalangan umat Syiah secara mutlak, dibangunkan mazhab berdasarkan kitab-kitab ini dan dijadikan pegangan.

Tetapi bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya kalian menolak hadis Ahlulbayt (a.s) pada zaman ini, kerana Rasulullah (sawas) telah menggambarkan bahawa umat pada akhir zaman adalah mereka yang melihat kebaikan sebagai kemungkaran dan kemungkaran sebagai kebaikan. Adakah kalian mengetahui, mengapa Allah melebihkan umat di akhir zaman berbanding dengan umat-umat di zaman yang lainnya? Ini kerana mereka adalah Ansar Imam Mahdi (a.s). Allah swt telah melebihkan mereka kerena pengakuan mereka terhadap riwayat-riwayat Rasulullah (sawas) dan itrahnya yang suci. Di sini kami bawakan untuk kalian, riwayat daripada Rasulullah (sawas) yang menzahirkan bahawa hadis ini berkaitan dengan wasiat yang telah diwasiatkan Rasulullah (sawas) di malam kewafatannya secara terangan-terangan kepada Imam Ali (a.s), dan juga kerana hadis ini juga menggunakan gaya percakapan yang sama seperti hadis wasiat, yang dimulakan dengan kata Rasulullah (sawas): “Wahai Ali...”

Daripada Imam Jaafar bin Muhammad, daripada bapanya, daripada datuknya, daripada Ali bin Abi Talib (a.s), di dalam hadis panjang yang berkaitan wasiat Nabi (sawas) menyebutkan di dalamnya, sesungguhnya Rasulullah (sawas) telah berkata kepadanya (Ali a.s): “Wahai Ali, ketahuilah kamu bahawa keimanan manusia yang paling menakjubkan dan yang paling hebat keyakinan mereka adalah orang-orang yang hidup di akhir zaman, mereka tidak pernah bertemu dengan nabi dan mereka terhalang dari Hujjah, tetapi mereka tetap beriman dengan yang hitam atas yang putih.” [Kamal Al Din wa Tamam Al Ni’mah, jilid 1, ms 288]

Yang dimaksudkan dengan hitam atas putih adalah riwayat-riwayat, manakala mereka yang menolak riwayat Ahlulbayt (a.s) adalah dengan hujah-hujah yang lemah adalah orang-orang yang lemah iman dan keyakinan mereka, bahkan kafir dan terkeluar dari wilayah Ahlulbayt (a.s), sepertimana yang telah disebutkan di dalam riwayat terdahulu. Mereka tidak berlengah-lengah untuk membantu Qaim (a.s), kerana yang membantu Qaim (a.s) adalah orang-orang yang paling hebat keyakinan dan keimanan mereka terhadap riwayat-riwayat Ahlulbayt (a.s). Banyak riwayat yang memuji orang-orang yang benar dan tunduk kepada riwayat-riwayat Ahlulbayt (a.s) sehingga tidak mampu untuk dibawakan kesemuanya di sini, dan cukup sekadar kami membawakan tiga riwayat sahaja untuk perhatian kalian:

Daripada Rasulullah (sawas), sesungguhnya dia telah bersabda: “Keimanan apakah yang paling menakjubkan?” mereka menjawab: ”Keimanan para Malaikat,” Nabi berkata: “Apa yang menakjubkan sangat padanya, sedangkan wahyu diturunkan ke atas mereka,” mereka berkata: “Iman kami,” Nabi berkata: “Apa yang menakjubkan padanya sedangkan kamu melihat aku,” maka mereka berkata: “Keimanan apakah ia?” Lalu Nabi berkata: “Keimanan orang-orang di akhir zaman dengan hitam atas yang putih (bi sawad ala bayadh).” [Mustadrak Al Wasail, jilid 17, ms 300]

Daripada Safwan bin Al Shaiqal, telah berkata: Aku, Al Harth bin Al Mughirah dan lain-lain telah masuk berjumpa dengan Abu Abdillah (a.s), makan Al Harth telah berkata kepadanya: “Lelaki ini iaitu Mansur Al Shaiqal, tidak mahu mendengar melainkan hadis kami, dan demi Allah dia tidak mengetahui apa yang harus diterima dan apa harus ditolak. Maka Abu Abdillah (a.s) berkata: Lelaki ini adalah orang yang berserah diri (menerima), sesungguhnya orang yang berserah diri adalah dari kalangan orang-orang yang mulia (nujabak).”[Bashair Al Darajat, ms 544]

Daripada Zaid bin Syiham, telah berkata: “Aku telah berkata kepada Abi Abdillah (a.s) dan bersama seorang lelaki yang bernama Kulayb, dia tidak berbicara dengan kamu melainkan dia berkata:”Aku berserah, maka menamakannya Kulayb Al Taslim (yang berserah). Maka (a.s) berkata: Rahmat ke atasnya, kemudian (a.s) berkata lagi: Apakah kamu mengetahui apa itu Taslim? Maka kami terdiam, lantas (a.s) berkata: Demi Allah, dia adalah merendah diri (Al Ikhbath), firman Allah: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal saleh dan merendahkan diri...” (Hud: 23) [Bashair Al Darajat, ms 545]

No comments:

Post a Comment