Sunday, November 10, 2013

Perlantikan Khalifah: Hak Allah atau Manusia?

Ahlul Sunnah berkeyakinan bahawa selepas kewafatan Nabi s.a.w.a, hak melantik khalifah jatuh ke tangan manusia, dan mereka bebas memilih dan mengangkat manusia pilihan hati mereka sebagai ketua. Namun benarkan manusia berhak ke atas urusan ini? Sejak Adam a.s, Allah swt melantik khalifahnya di muka bumi demi memandu manusia ke arahNya. Apa yang membuatkan Allah berhenti melantik khalifah selepas kewafatan baginda?
Sudah pasti, keadaannya bukanlah seperti ini, kerana untuk setiap kaum, untuk setiap umat, untuk setiap zaman, ada khalifahnya. Artikel ini menyertakan beberapa dalil Quran yang menunjukkan Allah swt lah yang melantik khalifahnya di muka bumi, haknya adalah dari Allah, bukan dari manusia.

Pertama: Allah Memberi Pemerintahan 

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍإِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Aali Imran:26

Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa kepimpinan itu milik Allah, dan Dia berhak melantik sesiapa yang dikehendakiNya sebagai khalifah di muka bumi. Allah swt berfirman:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ

“Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (Al Baqarah:30)

Jadi, bukanlah menjadi hak mana-mana manusia, dari ayat ini, untuk melantik raja, presiden atau perdana menteri melainkan dirinya adalah lantikan Allah swt. Kepimpinan ini diberikan oleh Allah kepada sesiapa yang dikehendaki, namun tidak semestinya seorang pemimpin lantikan Allah itu memerintah, kerana berkemungkinan beliau ditolak dari jawatan tersebut oleh manusia, seperti yang kerap kali berlaku di dalam sejarah manusia. Ibrahim a.s tidak memerintah, namun ia dipegang oleh Namrud l.a. Musa a.s tidak memerintah, namun ia dipegang oleh Firaun l.a, para Imam Dua Belas, kecuali Imam Ali a.s yang memerintah untuk sebuah tempoh singkat yang sangat bergelora,  juga tidak dapat memerintah, ia dipegang oleh para Khalifah zalim dari awal hingga akhir.

Atas sebab ini Allah swt berfirman:

أَمْ يَحْسُدُونَ النَّاسَ عَلَىٰ مَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ ۖ فَقَدْ آتَيْنَا آلَ إِبْرَاهِيمَ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَآتَيْنَاهُم مُّلْكًا عَظِيمًا


Atau patutkah mereka dengki kepada manusia disebabkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah kurniaNya? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada keluarga Ibrahim: Kitab dan hikmat, dan kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar. (An Nisa’: 54)

Walaupun keluarga Ibrahim a.s diberikan kepimpinan dan ketuanan Ilahiyah, malangnya mereka ditindas dan dizalimi, ditolak dari kepimpinan dan dirampas hak mereka oleh para penguasa zalim. Jadi tugas manusia adalah menerima dan meletakkan manusia pilihan Allah swt di posisi kepimpinan, kerana jika mereka menolaknya, maka kemurkaan Allah swt akan terjadi, dan bencana akan menimpa mereka.

Al Sadiq a.s bersabda: “Pernahkah kamu mendengar firman Allah: {..yang kamu tidak dapat dan tidak berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya..(27:60)} Dia berfirman menyatakan bukanlah menjadi hak kamu untuk memilih siapa Imam kamu, menggelarkan mereka sebagai (pemimpin) yang benar atas kehendak dan keingingan kamu.” Kemudian Imam Sadiq a.s bersabda: “Akan ada tiga kumpulan yang mana Allah tidak akan bercakap dan memandang mereka di Hari Kebangkitan, juga tidak akan menyucikan mereka, iaitu mereka yang menanam pohon yang tidak ditanam Allah swt, yakni, sesiapa yang melantik Imam yang tidak dilantik Allah, atau tidak mengimani Imam lantikan Allah.” (Tahaq al Uqul, hal 325)

Kedua: Ketuanan Allah Dari Sejarah Awal

Kisah Talut:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الْمَلَإِ مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ مِن بَعْدِ مُوسَىٰ إِذْ قَالُوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابْعَثْ لَنَا مَلِكًا نُّقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّ





Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” (Al Baqarah: 246)


Sekumpulan mukmin dari Bani Israel mempercayai ketuanan Allah swt, maka mereka tidak mendahului Allah swt dalam melantik, tetapi menyerah dan memohon kepada Allah, agar melantik seorang Raja bagi mereka, dan ini adalah bukti paling besar, bahawa semua agama Samawi mengiktiraf hak lantikan pemimpin berada di tangan Allah, bukanlah di tangan manusia melalui syura, pilihan raya dan sebagainya

Ketiga: Allah Yang Melantik Khalifah Di Muka Bumi

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” (Al Baqarah:30)

Khalifah Allah sudah semestinya merupakan pemerintah di muka bumi, dan khalifah pertama Allah di muka bumi adalah Adam a.s. Dan di setiap zaman, ada khalifah Allah yang yang dilantik, seperti firman Allah swt:

إِنَّمَا أَنتَ مُنذِر وَلِكُلِّ قَوْمٍ هَادٌٍ
“Sesungguhnya kamu hanyalah seorang pemberi peringatan dan bagi tiap-tiap kaum ada orang yang memberi petunjuk”(Ar Ra’d:7)

Dan di zaman ini, khalifah Allah adalah Imam Mahdi a.s. Jadi manusia perlulah membenarkan beliau memerintah, kerana sesungguhnya beliau merupakah lantikan Allah swt.


Keempat: Pilihan Di Tangan Allah

اللَّهُ يَصْطَفِي مِنَ الْمَلَائِكَةِ رُسُلًا وَمِنَ النَّاسِ


“Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al Haj:75)

Tanpa perlu menerangkan dengan lebih lanjut, pilihan di tangan Allah swt, bukan manusia.

Kelima: Perlantikan Ibrahim a.s sebagai Imam, Daud a.s Sebagai Khalifah

Allah swt berfirman:

وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ


Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. (Al Baqarah: 124)

Di tempat lain, Allah swt melantik Daud sebagai khalifahnya

يَٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلۡنَٰكَ خَلِيفَةٗ فِي ٱلۡأَرۡضِ


“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi..” (Sad: 26)

Keenam: Mereka Yang Tidak Berhukum Dengan Hukum Allah

Allah swt berfirman:

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ


“..dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al Maidah: 45)

Dia juga berfirman:

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ


“..sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Al Maidah: 47)

Maka barangsiapa yang menolak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah swt adalah adalah kumpulan manusia yang zalim dan fasik.

InsyaAllah, di tempat lain dalam Quran yang mulia, banyak sekali ayat yang menyokong bahawa ketuanan hanya milik Allah, dari Allah dan untuk Allah. 100% hak Imamah adalah ditentukan Allah, dan manusia tidak mempunyai hak di dalamnya. Dari Adam a.s hinggalah di zaman ini, setiap zaman ada utusan Allah memandu manusia, maka siapa hujjah Allah setelah wafatnya Nabi s.a.w.a?
Kami tertanya-tanya, apakah dalil yang dapat menyokong bahawa ketuanan itu milik manusia, dengan kata lain, manusia berhak melantik pemimpin pilihannya. Wallahualam

No comments:

Post a Comment