Sunday, November 10, 2013

Adakah Mukjizat Pra Syarat Keimanan Kepada Khalifah Allah

Tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Jelas sekali perbuatan kalian meletakkan mukjizat sebagai asas untuk seseorang beriman kepada para Aimmah (a.s) adalah tidak bersandarkan kepada hujah yang nyata dari Quran dan Sunnah yang muhkam. Kalian hanya meletakkan syak wasangka dan keraguan sebagai hujah kalian, tanpa benar-benar memahami isi kandungan ayat-ayat Quran dan hadis yang menyatakan tentang Mukjizat para Nabi dan Washi. Jika benar mukjizat dijadikan asas keimanan, maka sudah tentulah semua manusia beriman pada hari ini dan tiada lagi orang yang kafir di muka bumi ini. Sudah pastinya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana, berkeupayaan melakukannya sendiri tanpa perlu diutuskan para Nabi dan Washi untuk melakukannya. Di sini kami bawakan hujah kami bagi menolak keyakinan sebegini, yang nyata sekali bukan bersumber dari Quran dan Hadis yang muhkam: 
Mukjizat membantu Imam dalam membuatkan manusia beriman, tetapi ia bukanlah bermakna mukjizat adalah perkara asas dan utama dalam mengenalpasti, mengetahui atau menilai kedudukan seorang Imam. Imam Jaafar a.s telah ditanya akan hal ini dan lihat bagaimana respon Imam a.s: 
Aku bertanya kepada Abi Abdillah (a.s) tentang orang yang sepatutnya memegang urusan ini iaitu pembuat tuntutan. Apakah bukti bahawa dia adalah orangnya? Imam a.s berkata: Dia akan ditanya akan halal dan haram. Sahabat Imam (a.s) berkata: Imam (a.s) berjalan ke arahku dan berkata: Tiga bahan bukti yang apabila kesemuanya bertepatan, maka akan diketahui bahawa dia adalah empunya urusan (Sohib Al Amr): Dia menjadi orang pertama yang berotoriti selepas orang sebelumnya, dia juga memiliki senjata (ilmu Rasulullah), dan dia juga yang akan bersama dengan wasiat yang nyata.” [Kafi v.1 ms 285]
Telah berkata Ali Ibn Hussein a.s: “Seorang Imam mestilah maksum dan kemaksuman itu bukan sesuatu yang dikenali oleh peribadi lain. Disebabkan itu ia harus disebutkan melalui teks (nas).” [Maani Al Akhbar ms 132] 
Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini bahawa seseorang Imam itu hanya dikenali melalui wasiat iaitu teks ketuhanan (nas ilahi). 
Mukjizat Sebagai Medium Keimanan?
Mukjizat kebendaan tidak mungkin menjadi medium untuk berimannya manusia kepada Allah SWT, malahan Allah SWT tidak meredhai keimanan berasaskan kebendaan semata-mata seperti ini. Sekiranya Allah SWT menerima iman sebegini, sudah pasti diterimaNYA keimanan Firaun setelah melihat Mukjizat kebendaan yang tidak dapat disangkal lagi iaitu melihat terbelahnya laut sambil menyentuh tembok laut yang tinggi dengan tangannya sendiri, seraya berkata: 
“Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah).” (Yunus:90) 
Namun begitu Allah SWT tidak meredhai keimanan sebegini dan berfirman lagi: 
“Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?” (Yunus:91) 
Seterusnya Allah SWT membiarkan badan Firaun tidak luput agar manusia di kemudian hari berfikir, firmanNYA lagi: 
“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar) dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami! (Yunus:92)
Amat malang sekali kerana hanya sedikit dari kalangan manusia yang mengambil pengajaran dari ayat dan peristiwa ini. Begitulah mukjizat tidak mungkin dapat membuatkan manusia beriman sepertimana yang mereka kehendaki, kecuali berimannya manusia dengan berat hati kerana dipaksa untuk menerima sesuatu yang hebat setelah tidak mampu berhadapan dengannya. Keislaman sebegini hanyalah Islam pada mata kasar dan bukannya Islam dalam ertikata tunduk kepada yang tidak Nampak (Ghaib) iaitu Allah SWT. 
Mereka yang bertadabbur dengan kisah para Nabi a.s akan mendapati bahawa mereka a.s didatangkan dengan perkara yang sama iaitu kesamaan yang tersebar luas di zaman mereka a.s. Musa a.s diberikan tongkat yang boleh menjadi ular besar di zaman yang terdapat banyaknya ahli sihir yang menukarkan tongkat menjadi ular bagi memukau pandangan orang ramai. Begitu juga Isa a.s diberikan mukjizat dapat menyembuhkan penyakit ketikamana tersebar luasnya perubatan di zamannya. Nabi Muhammad (sawas) juga diberikan mukjizat Al-Quran ketikamana umat Arab mengagung-agungkan sajak dan syair. Hal sedemikian berlaku adalah untuk kesamaran (اللبس), sebagaimana firmanNYA: “Dan kalau Kami jadikannya malaikat (sebagai Rasul), tentulah Kami jadikan dia berupa seorang lelaki dan tentulah Kami (dengan yang demikian) menyebabkan mereka kesamaran sebagaimana mereka sengaja membuat-buat kesamaran” (Al-An’aam:9). Kesamaran ini adalah bagi memberi ruang kepada mereka yang tidak beriman dengan perkara ghaib agar dapat mentafsir dan seterusnya beriman dengan perkara ghaib. Jika tidak, keimanan mereka hanya berdasarkan kebendaan semata-mata dan bukanlah keimanan dan keislaman sebenar yang diterima oleh Allah SWT, sepertimana dalam firmanNYA: 
“Katakanlah (wahai Muhammad): Pada hari pembukaan itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat demikian)” (Al-Sajdah:29)
Kesimpulannya, kesempurnaan Iman itu adalah beriman dengan perkara Ghaib seratus peratus sepertimana keimanan para Nabi dan Awsiya’ alaihimussalam. Tiap kali keimanan itu bercampur aduk dengan tanda, isyarat, karamah ataupun mukjizat kebendaan ianya adalah keimanan yang paling rendah dan tiada nilainya di sisi Allah SWT. Keimanan dan keislaman yang hanya berdasarkan kekuatan serta kesempurnaan mukjizat semata-mata adalah tidak diterima sepertimana tertolaknya keimanan dan keislaman Firaun. Ini kerana keimanan sebegini adalah seratus peratus keimanan kebendaan, sedangkan Allah SWT menggambarkan bahawa orang-orang beriman itu adalah orang yang beriman dengan perkara-perkara Ghaib:
“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Al-Baqarah:3)
“Iaitu mereka yang takut Tuhannya dengan beriman kepada perkara Ghaib dan mereka pula gerun cemas akan hari kiamat.” (Al-Anbiya’:49)
“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada mereka yang takut akan Tuhan mereka dengan beriman kepada perkara Ghaib, serta mereka mendirikan sembahyang dan sesiapa yang membersihkan dirinya maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.” (Al-Fathir:18)
“Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah kepada orang menurut Al-Quran serta ia takut Ar-Rahman dengan beriman kepada perkara-perkara Ghaib. Oleh itu berilah kepadanya berita yang menggembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.” (Yaseen:11)
“Orang yang takut akan Al-Rahman dengan beriman kepada perkara-perkara Ghaib serta dia datang (kepada Allah) dengan hati yang tunduk taat.” (Qaf:33)
“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang menolongNYA serta Rasul-rasulNYA dengan beriman kepada perkara-perkara Ghaib, sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al Hadid: 25) 
“Sesungguhnya orang-orang yang takut akan Tuhannya dengan beriman kepada perkara-perkara ghaib, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Mulk:12)
Mukjizat Di Masa Kemunculan Imam Mahdi (a.s)
Di sini kami bawakan kepada kalian, keadaan sebenar apabila berlakunya kemunculan Imam Mahdi (a.s) agar kalian tidak terus dibuai mimpi indah sambil menunggu kemunculan Imam Mahdi (a.s). Dan kedatangan seorang washi yang diutuskan bagi mengingatkan umat manusia tentang kemunculan Imam Mahdi (a.s). 
Mufadhal Ibnu Umar telah bertanya kepada Imam a.s: ”Apakah Imam Mahdi a.s yang ditunggu dan dijangkakan akan muncul pada waktu yang ditentukan, dan dikenali kebanyakan manusia?” Imam a.s menjawab: ”Semoga dijauhkan Allah daripada diketahui masa kemunculan Imam Mahdi a.s oleh Syiah kami.” Mufadhal bertanya lagi: “Mengapa sedemikian, wahai Imam?” Imam a.s menjawab:”Kerana ia adalah “Saa’ah” yang Allah swt rujuk ketikamana DIA berfirman: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang “Saa’ah”: Bilakah masa datangnya? Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) Saa’ah itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenai “Saa’ah” itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” Dia adalah juga “Saa’ah” yang Allah swt firmankan: “Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang “Saa’ah”: Bilakah masa datangnya?” 
Firman Allah swt:”Maka tidaklah yang mereka tunggu-tunggu melainkan “Saa’ah” [yaitu] kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, karena sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila “Saa’ah” sudah datang?” Firman Allah swt lagi: “Telah dekat [datangnya] “Saa’ah” itu dan telah terbelah bulan”. FirmanNya lagi: “Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan Saa’ah; katakanlah: Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.”Orang-orang yang tidak beriman kepada “Saa’ah” itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai “Saa’ah” itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.” [Bihar Al-Anwar, Alamah Al-Majlisi, vol. 53,ms. 1]
Saa’ah yang dimaksudkan Quran adalah Imam Mahdi (a.s) sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Sadiq (a.s). Doa untuk Imam Mahdi a.s juga ada menyebutkan tentang perkataan tersebut dan ianya amat signifikan.
Apa pula kata Rasulullah (sawa) berkaitan dengan “Saa’ah” (iaitu Imam Mahdi a.s sepertimana yang dikhabarkan oleh Imam Sadiq a.s). Rasulullah (sawa) telah bersabda: “Saa’ah tidak akan tiba sehingga bangkitnya seorang lelaki yang bersama dengan kebenaran, apabila Allah swt membenarkan perkara yang sedemikian. Barangsiapa yang mengikutinya akan terselamat dan barangsiapa yang tidak, akan hancur binasa. Wahai hamba-hamba Allah, bersegeralah kepadanya walaupun kamu terpaksa merangkak merentasi salji kerana dia adalah khalifah Allah swt dan khalifahku.” [Dala’il Al-Imamat, oleh At-Tabari, p. 452][Bihar Al-Anwar, vol. 51, p. 65]

No comments:

Post a Comment