Monday, January 6, 2014

PERSOALAN TENTANG PEMILIHAN PARA NABI, RASUL DAN IMAM DI ALAM ZARR




Pertanyaan 17: Apakah alasan pemilihan para Nabi, Rasul, dan Imam AS, bukan orang selainnya, dan mengistimewakan mereka dengan kemaksuman?

Jawaban

Ketika Allah SWT menghimpunkan bani Adam di TanganNya dan berkata kepada mereka,

{…Bukankah Aku Tuhanmu?...}, [1]

mereka terbahagi, menjadi beberapa golongan mengikut jawapan mereka:

Golongan PERTAMA adalah mereka yang telah melihat cahaya ini dari sebalik hijab, lalu mereka menjawab, “Ya,” sebelum pertanyaan tadi sampai ke pendengaran mereka. Dan golongan ini terbahagi menjadi beberapa kelompok sesuai dengan bilangan hijab, yang dari sebaliknya mereka melihat cahaya.

Dan mereka adalah orang-orang yang menembusi hijab-hijab cahaya dan mencapai Sumber Kebesaran [ma’din al-‘azhamah] [2]. Amirul Mukminin AS berkata,

“Ilahi, limpahilah daku dengan kesempurnaan pengabdian kepadaMu, dan terangilah mata hati kami dengan cahaya penglihatannya kepadaMu, sehingga mata hati kami menembusi hijab-hijab cahaya, dan mencapai sumber Kebesaran [ma’din al-‘Azhamah], dan roh-roh kami melekat pada KemuliaanMu yang Suci.” [3]

Golongan KEDUA adalah mereka yang melihat cahaya ini setelah ia menembusi hijab-hijab, lalu mereka menjawab, “Ya,” setelah pertanyaan itu sampai ke pendengaran mereka. Mereka juga terbahagi menjadi beberapa kelompok mengikut kepantasan mendengar dan menjawab, dan kedua-dua ini adalah golongan yang MERDEKA.

Kemudian golongan HAMBA; mereka berkata, “Ya,” setelah mendengar ucapan “Ya” dari orang lain.

Kemudian golongan MUNAFIK; mereka berkata, “Ya,” tetapi hati mereka meragui apa yang mereka dengar. [4]

Kemudian golongan KAFIR; mereka adalah orang-orang yang tidak berkata "Ya." [5]

Para Nabi, Rasul, dan Imam AS adalah golongan pertama, dan mereka telah melihat cahaya ini dari sebalik hijab-hijab kerana mereka tidak menoleh ke kanan atau kiri, bahkan jiwa mereka melekat pada di alam paling atas [bilmala’ al-a’la], dan penglihatan mereka terbatas pada sisi limpahan Ilahi, dan mereka tidak pernah melupakan Allah SWT, dan mereka AS juga ada derajatnya. Sebahagian daripada mereka memusatkan seluruh wujud mereka untuk melihat pada sisi limpahan Ilahi, dan sebahagian mereka pula kurang daripada itu. Setiap mereka AS menerima sesuai dengan apa yang mereka berikan, dan melihat tanda-tanda dari Tuhannya sesuai dengan sebanyak mana usaha mereka memandang kepadaNya.

{Dan bukanlah untuk manusia, selain apa yang diusahakannya ۝ Dan usahanya itu akan diperlihatkan ۝ Dan kemudian dia akan mendapat balasan yang sempurna ۝ Dan kepada Tuhanmulah segala kesudahan.} [6]

Jadi, di alam tersebut, semua anak Adam mempunyai kebebasan untuk memilih, dan setiap mereka memiliki fitrah Allah yang manusia difitrahkan di atasnya.

Dan setiap orang, yang dengan kehendaknya sendiri membataskan penglihatannya pada cahaya tersebut, lalu menjadi golongan yang didekatkan [al-muqarabin], atau membataskannya pada kegelapan lalu mereka menjadi penghuni neraka. Para Nabi, Rasul, dan Imam AS adalah orang-orang yang memilih Allah SWT, dan membataskan penglihatan mereka pada cahaya tersebut, oleh itu Allah SWT memilih mereka.

Adapun mengenai KEMAKSUMAN, ada banyak derajatnya dan bukan hanya satu seperti yang dibayangkan oleh sesetengah orang, dan setiap nabi, rasul, dan Imam AS berbeza dalam derajat kemaksuman berdasarkan pilihannya [7]. Maka itu kemaksuman adalah orang yang berpegang teguh pada Allah dan menahan diri daripada apa yang dilarang oleh Allah SWT.

Dalam kitab Ma‘ani al-Akhbar, Hisham berkata,

“Aku berkata kepada Abu Abdullah AS, ‘Apa maksud kata-katamu bahawa Imam mesti maksum?’ Dia AS berkata, ‘Maksum adalah orang yang menahan diri kerana Allah dari segala yang dilarang Allah. Dia SWT berfirman, {Dan sesiapa yang berpegang teguh pada Allah, sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk ke jalan yang lurus.}’ [8].” [9]

Abu Abdullah Al-Sadiq AS berkata,

“Orang yang maksum adalah mereka yang berpegang teguh pada tali Allah; dan tali Allah adalah Quran, dan Quran menunjukkan kepada Imam, seperti firman Yang Maha Tinggi, {Sesungguhnya, Quran ini adalah petunjuk kepada jalan yang paling lurus} [10].” [11]

______________________
Notakaki:

[1] Al-Quran, Al-A’raaf 7:172.
[2] Daud Al-Raqqi meriwayatkan Abu Abdullah AS berkata, “Ketika Allah (SWT) ingin menciptakan makhluk, Dia mencipta dan menghimpunkan mereka di antara tanganNya, kemudian menyoal mereka, ‘Siapa Tuhan kalian?’ Maka yang pertama menjawab adalah Rasulullah SAAW, dan Amirul Mukminin AS, dan para Imam AS, lalu mereka berkata, ‘Engkau, Tuhan kami.’ Maka Dia SWT menjadikan mereka pembawa ilmu dan agama, kemudian Dia SWT berkata kepada para malaikat, ‘Mereka adalah pembawa agamaKu dan ilmuKu dan amanatKu dalam penciptaanKu, dan mereka adalah orang-orang yang telah diamanahkan [al-mas’ulun].’ Kemudian Dia SWT berkata kepada anak-anak Adam, ‘Akuilah Allah dalam Ketuhanan [ar-rububiyah], dan ketaatan dan kesetiaan [al-wilayah] kepada mereka.’ Lalu mereka berkata, ‘Iya, Tuhan kami, kami mengaku.’ Maka Allah SWT berkata kepada para malaikat, ‘Bersaksilah,’ lalu para malaikat berkata, ‘Kami bersaksi, agar mereka nanti tidak berkata, ‘Bahawa kami tidak mengetahui perkara ini,’ atau mereka berkata, ‘Sesungguhnya nenek moyang kami telah mensyirikkan Allah sejak dahulu dan kami ini hanyalah keturunan mereka. Lalu, apakah Engkau akan menghukum kami kerana mengikut kebatilan yang telah mereka dilakukan dahulu?’” Dia AS berkata, “Wahai Daud, para nabi telah ditentukan dalam Perjanjian [al-mitsaq].” Bihar Al-Anwar, Jilid 5 halaman 244.
[3] Petikan dari Munajat Sya'ban, lihat: Iqbal Al-‘Amal, halaman 687.
[4] Ibnu Miskan meriwayatkan bahawa dia bertanya Abu Abdullah AS tentang firman Allah, {Dan [ingatlah] ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam, dari belakang mereka, dan mereka bersaksi atas diri mereka, ‘Bukankah Aku Tuhanmu?’ Mereka berkata, ‘Ya, kami bersaksi’}. Aku bertanya, “Apakah ini secara bersemuka?” Dia AS menjawab, “Ya, ilmu telah tertanam kuat, dan mereka telah melupakan kejadian itu, tetapi mereka akan mengingatinya semula, kerana jika bukan begitu, tidak seorang pun yang tahu siapa yang menciptakannya dan memberinya rezeki. Sebahagian mereka mengaku dengan lidah di alam Al-Zarr dan tidak beriman dengan hati mereka, lalu Allah berfirman, {Mereka tidak beriman dengan apa yang telah mereka dustakan dahulu} [Al-Quran, Al-A’raaf 7:101].” Bihar Al-Anwar, Jilid 5 halaman 237.
[5] Abu Jaafar meriwayatkan bahawa bapanya menyatakan daripada datuknya AS yang berkata, “Rasulullah SAAW berkata kepada Ali AS, ‘Kamu adalah hujjah Allah sejak Dia mula menciptakan, Dia SWT menjadikan mereka bayang samar [asybahan] dan berkata, ‘Bukankah aku Tuhanmu?’; maka mereka berkata, ‘Ya’. Dia SWT berkata, ‘Muhammad Rasulallah?’; maka, mereka berkata, ‘Ya’. Dia SWT berkata, ‘Dan Ali Amirul Mukminin?’; maka semua makhluk menolak [untuk mengakuinya] kerana angkuh dan sombong untuk berjanji setia padamu, kecuali sekelompok kecil, dan mereka adalah minoriti dari yang sedikit, dan mereka adalah golongan Kanan [ashhabul yamin].’ “ Bihar Al-Anwar, Jilid 24 halaman 2.
[6] Al-Quran, An-Najm 53: 39-42.
[7] Dan dengan ini, mereka saling mengatasi, satu di atas yang lain, seperti firman Yang Maha Tinggi, ‘{Para rasul tersebut, Kami lebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain. Di antara mereka, ada yang berkata-kata dengan Allah, dan Dia mengangkat derajat sebahagian mereka. Dan Kami berikan Isa putera Mariam keterangan yang jelas dan kami perkuatkannya dengan Ruhul Qudus.} Al-Quran, Al-Baqarah 2: 253.
[8] Al-Quran, Ali Imran 3: 101.
[9] Ma‘ani Al-Akhbar oleh Syeikh Al-Saduq, halaman 132.
[10] Al-Quran, Al-Isra’ 17: 9.
[11] Ma‘ani Al-Akhbar oleh Syeikh Al-Saduq, halaman 132.

No comments:

Post a Comment